KUANTAN, 31 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha yang menyambut perayaan tersebut.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar perayaan yang diraikan ini dapat terus menyemarakkan nilai kasih sayang, keharmonian, toleransi dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri Pahang dan negara ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar sambutan Hari Wesak menjadi ruang untuk memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat, selaras dengan prinsip saling menghormati yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut mendoakan agar seluruh rakyat Pahang dan Malaysia terus dikurniakan kesejahteraan, keamanan serta kehidupan yang harmoni dalam suasana masyarakat majmuk yang bersatu padu. – KESULTANAN PAHANG







