KUANTAN, 27 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada pukul 8.30 pagi diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail serta YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Nazri Abu Bakar.
Paduka Baginda berdua menunaikan solat bersama jemaah lain dengan diimamkan oleh Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Ustaz Mohd Hafidz Mohammad Suhaile diikuti khutbah khas disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Professor Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Khutbah bertajuk ‘Kehidupan Adalah Pengorbanan’ menekankan bahawa pengorbanan merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Ia menyeru umat Islam menterjemahkan konsep pengorbanan melalui ketaatan kepada perintah Allah, mendidik keluarga, menuntut ilmu, serta memupuk sikap saling menghormati dan membantu dalam masyarakat
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang kemudiannya berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan 24 ekor lembu di perkarangan masjid di mana Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut sama menyerahkan tiga ekor lembu untuk ibadah tersebut. – KESULTANAN PAHANG






