JERANTUT, 15 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke program sukan rakyat di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Program sukan rakyat yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu berjaya menghimpunkan penduduk setempat serta pelbagai agensi dalam semangat muafakat dan kekeluargaan.
Paduka Baginda berkenan menyaksikan pelbagai acara tradisional dan santai antaranya pertandingan tarik tali, acara belon kasih sayang serta aktiviti mengutip gula-gula yang disediakan khas untuk kanak-kanak.
Lebih menggamatkan apabila Paduka Baginda bersama Tengku Mahkota Pahang turut berkenan menyertai acara baling belon kasih sayang sekali gus menambahkan kemeriahan suasana dan mencuit hati rakyat yang hadir.
Acara tarik tali turut mencuri tumpuan apabila pasukan Majlis Kesultanan Pahang berjaya muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut. -KESULTANAN PAHANG






