KUANTAN, 2 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 9.50 pagi disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Dato’ Sri Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Pahang Dato’ Mohd Razam Taja Rahim.
Paduka Baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama, menandatangai plak perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing serta menyaksikan Persembahan Khas Kebombaan.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas pengorbanan serta keberanian mereka dalam melindungi nyawa dan harta benda rakyat.
Paduka Baginda bertitah, jasa anggota bomba sentiasa dekat di hati Paduka Baginda kerana mereka merupakan barisan hadapan yang sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi kecemasan termasuk kebakaran, kemalangan jalan raya dan bencana alam.
Paduka Baginda turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyaksikan satu kebakaran besar di Sekolah Menengah Al-Attas, Pekan pada awal tahun 1980-an.
Menurut Paduka Baginda, ketika semua pelajar disahkan telah dipindahkan, Paduka Baginda meminta pasukan bomba melakukan satu lagi pemeriksaan terakhir kerana merasakan masih terdapat mangsa yang belum ditemui.
Hasil pemeriksaan tersebut, seorang pelajar ditemui rentung di bawah katil asrama, satu pengalaman yang sehingga kini kekal terpahat dalam ingatan Paduka Baginda dan menjadi bukti keberanian anggota bomba yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam operasi menyelamat.
Paduka Baginda bertitah, pengalaman itu menyebabkan Paduka Baginda sentiasa mengikuti rapat setiap operasi yang dilaksanakan oleh JBPM dan menghargai segala pengorbanan warga bomba.
“Selagi mana kekuatan saya ada, selagi mana saya mampu, saya akan terus bersama pihak bomba di negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk bekas serta pengarah-pengarah JBPM Pahang yang telah banyak menyumbang kepada kecemerlangan jabatan itu.
Paduka Baginda turut menasihatkan seluruh warga bomba agar terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara. – KESULTANAN PAHANG





