SHAH ALAM, 18 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Cross Court Malaysia di Jalan TUDM, Pekan Subang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Hadir sama ialah YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sejurus ketibaan Paduka Baginda berkenan berangkat melawat fasiliti Cross Court Malaysia bagi melihat kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi TAS Industri dan Pengarah Urusan Cross Court Malaysia sebelum Paduka Baginda menyempurnakan gimik perasmian Cross Court Malaysia.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir pertandingan pickleball yang berlangsung sempena majlis berkenaan sebelum berangkat meninggalkan majlis. – KESULTANAN PAHANG








