KUANTAN, 15 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menitahkan supaya Mufti Negeri Pahang serta masjid-masjid di seluruh negeri melaksanakan solat hajat dan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan serta rahmat daripada Allah SWT susulan keadaan jerebu dan peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan di Pahang.
Paduka Baginda bertitah, usaha berkenaan merupakan ikhtiar umat Islam untuk memohon pertolongan dan rahmat Allah SWT agar diturunkan hujan yang dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu serta memperbaiki kualiti udara.
Berdasarkan status kualiti udara negeri Pahang setakat jam 1 tengahari tadi, lima kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Indera Mahkota dengan bacaan tertinggi 165, diikuti Balok Baru (163), Temerloh (160), Jerantut (159) dan Rompin (154).
Keadaan kualiti udara tersebut memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, Paduka Baginda turut berharap rakyat Pahang, khususnya umat Islam, bersama-sama berdoa agar Allah SWT menurunkan hujan yang membawa rahmat, membersihkan udara dan mengakhiri keadaan jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan. – KESULTANAN PAHANG









