KUANTAN, 14 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menitahkan supaya pembinaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) dilaksanakan dengan mengutamakan aspek kualiti meskipun kos pembinaannya rendah, selain tidak dilakukan secara sambil lewa kerana kediaman berkenaan merupakan tempat perlindungan dan ‘syurga’ bagi sesebuah keluarga.
Paduka Baginda bertitah, projek berkenaan yang bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada rakyat Pahang dijangka melibatkan pembinaan sebanyak 790 unit rumah di seluruh negeri.
“Saya harap cuba percepatkan, dan saya harap dalam soal pembinaan untuk rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, tetapi janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa sahaja. Saya nak ada kualiti sikitlah.
“Jangan buat sambil lewa sahaja kerana saya anggap ini ialah syurga kepada satu-satu keluarga, di mana sekali pun, selagi di atas bumi Pahang ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Hadir sama ialah Tuan Yang Terutama Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Ahmad Islanizam A.Halim.
Pada majlis itu, seramai 11 penerima menerima kunci rumah masing-masing, membabitkan enam penerima dari daerah Kuantan dan lima penerima dari daerah Jerantut.
Sementara itu, Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, khususnya Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) yang menguruskan Akaun Amanah Rumah Al-Sultan Abdullah serta pihak kontraktor dan agensi kerajaan yang memberikan bantuan secara langsung mahupun tidak langsung.
Dalam titah, Paduka Baginda turut mengesyorkan supaya satu kajian dibuat bagi mewujudkan skim insurans secara berkelompok kepada semua penghuni Rumah Ru’RASA bagi melindungi kediaman mereka daripada risiko seperti kebakaran dan kejadian tidak diingini.
“Saya nak nyatakan kalau boleh, semua penghuni-penghuni rumah Rumah Ru’RASA ini, 790 (buah) kalau boleh buat satu insurans berkelompok.
“Supaya mereka (penerima) ini dan rumah-rumah ini dilindungi daripada kebakaran atau sebagainya. Kita kaji daripada situ, dari segi insurans supaya penghuni ini merasa lebih selesa,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan supaya bantuan dan peruntukan tambahan yang bersesuaian turut dikaji bagi membantu keluarga penerima sekiranya diperlukan. – KESULTANAN PAHANG







