CAMERON HIGHLANDS, 8 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan titah keprihatinan yang mendalam terhadap usaha memperluaskan kemudahan asas khususnya bekalan elektrik kepada rakyat di kawasan pedalaman negeri ini.
Dalam titah Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas komitmen dan tanggungjawab berterusan dalam membekalkan kemudahan elektrik kepada rakyat di negeri Pahang.
“Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan tempat sudah pun dicahayakan tetapi masih ada lagi satu dua tempat yang masih dalam kegelapan,” titah Paduka Baginda ketika Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan melawat tapak pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Kasau dan Teji, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menegaskan bahawa usaha penyediaan kemudahan asas seperti elektrik dan air tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa, sebaliknya perlu digerakkan secara lebih proaktif oleh semua pihak termasuk TNB, pentadbir daerah dan mukim demi kesejahteraan rakyat.
“Saya harap pihak TNB ataupun wakil-wakil daerah ataupun mukim-mukim terus bertindak secara lebih proaktif untuk menentukan kemudahan asas seperti elektrik, air dan sebagainya mesti diberi kepada rakyat saya di seluruh negeri Pahang,” titah Paduka Baginda lagi.
Dalam titah lanjut, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas TNB dalam menangani isu tular berkaitan keperluan elektrik di Kampung Kuala Sat sebelum ini, yang telah diselesaikan dengan segera demi kebajikan penduduk terlibat.
Paduka Baginda turut menyentuh pengalaman meninjau kawasan pedalaman termasuk Pos Telanok, Pos Pantos serta beberapa kampung sekitar seperti Kampung Susu, Kampung Leyar, Kampung Menson dan Kuala Boh, yang menunjukkan perkembangan positif dari segi infrastruktur asas termasuk pemasangan tiang elektrik dan pembinaan jalan.
“Syukur alhamdulillah hari ini saya dapat sampai di Pos Telanok… nampak jalan semua ada, tiang elektrik semua ada”.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut menyeru agar penduduk Pos Telanok terus bersatu padu, mengekalkan taat setia kepada Raja serta memainkan peranan membantu kerajaan dalam memajukan kawasan setempat.
Paduka Baginda turut menitahkan agar sebarang kekurangan disalurkan melalui wakil rakyat atau pegawai daerah bagi tindakan lanjut. -KESULTANAN PAHANG








