KUALA LUMPUR 19Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Resepsi Perkahwinan YM Tengku Putri Helen Nurina binti YM Dato’ Paduka Tengku Shaharin Abu Bakar dan Wan Mohamed Aidiel bin Wan Shamsul di Hotel Shangri-La di sini semalam.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahree Akashah Khalil.
Turut berangkat ialah DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut YM Dato’ Paduka Tengku Shaharin Abu Bakar Ibni Al-Marhum Dato’ Paduka Tengku Suleiman Abu Bakar dan isteri, YM Datin Paduka Raja Nor Mazli binti Al-Marhum Tun Raja Mohar.
YM Dato’ Paduka Tengku Shaharin adalah sepupu kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Paduka Baginda berkenan merenjis pasangan pengantin dan beramah mesra dengan kaum keluarga serta tetamu yang hadir.
Sesungguhnya keberangkatan Paduka Baginda ke majlis tersebut bukan sahaja memeriahkan majlis perkahwinan, malah meninggalkan seribu kenangan terindah buat semua.- KESULTANAN PAHANG.






