KUANTAN 26 Januari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke galeri-galeri Muzium Pahang di Pekan dan Kuantan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Lebih istimewa, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku membawa pensyarah dan rakan-rakan sekelas dari International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang kini mengikuti pengajian di peringkat sarjana turut berpeluang berkongsi pengetahuan berkenaan Hukum Kanun Pahang dan Kesultanan Pahang kepada ahli rombongan.
Antara tempat yang dilawati dengan diketuai sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku ialah Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, Kutubkhanah Diraja, Museum of Contemporary Art (MOCA), Museum of Contemporary Art Plus (MOCA+) dan Muzium Tunku Azizah Fesyen & Tekstil.- KESULTANAN PAHANG



























