PETALING JAYA 10 Sept. 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan tayangan tertutup dokumentari khas bertajuk ‘TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026’ di sebuah pawagam di Subang Jaya di sini malam tadi.
Dokumentari itu merakamkan perjalanan dua pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang lebih dikenali sebagai Kicok, dan Chew Wei Ngor atau Margaret, 56, dalam menguji ketahanan fizikal serta mental bagi merealisasikan impian menawan puncak tertinggi dunia iaitu Gunung Everest.
Sebelum tayangan bermula, Paduka Baginda berkenan menerima persembahan Jalur Gemilang yang pernah dikibarkan Mohd Khafiz di puncak Gunung Everest serta senaskhah buku nukilannya bertajuk ‘ Misi K2: Pendakian Ironman Malaysia ke Puncak Gunung Paling Berbahaya di Dunia’.
Dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 akan ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro saluran 100 pada 13 Sept ini, pukul 8 malam, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.- KESULTANAN PAHANG






