ALOR SETAR, 6 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat hari ketiga sesi latihan bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 67 (A)/26 di Kolej Tentera Udara, semalam.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku memulakan jadual latihan dengan bergerak ke Inspen 2 sebelum menghadiri sesi Pre-Flight Brief pada pukul 8 pagi.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku kemudiannya mengikuti kelas penerbangan selama dua jam bermula jam 8.30 pagi yang memberi pendedahan praktikal kepada aspek asas pengendalian dan operasi penerbangan.
Pada sebelah tengah hari, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku menghadiri kelas Meteorologi serta sesi Mass Brief Basic Auto, Hover, Take-Off and Landing. Sesi berkenaan memberi pendedahan mengenai faktor cuaca yang mempengaruhi penerbangan serta teknik dan prosedur asas penerbangan termasuk autorotation, hovering, berlepas dan mendarat, sebagai sebahagian daripada silibus Kursus Asas Penerbangan Siri 67 (A)/26. – KESULTANAN PAHANG







