KUNDASANG, 13 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada jam 8.30 pagi hari ini sempena Ekspedisi Mahkota Borneo.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku telah memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban pada pukul 2.30 pagi sebelum tiba dengan selamat di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu dalam suasana cuaca yang baik dan penuh semangat.
Kejayaan bersejarah tersebut mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan tinggi Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dalam menjayakan misi ekspedisi berkenaan.
Ekspedisi Mahkota Borneo turut dilihat sebagai simbol keberanian, perpaduan dan semangat cintakan alam semula jadi, di samping menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Pendakian tersebut juga menjadi manifestasi komitmen Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi berlangsung. -KESULTANAN PAHANG







