GENTING HIGHLANDS, 27 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santuni Kasih Diraja Bersama Anak Yatim dan Asnaf bersempena pembukaan rasmi Restoran Mohd Chan Genting Permai hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 3.30 petang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Chan Group serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang,
Dato’ Amizar bin Abu Adam selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan bersama-sama meraikan 60 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim dari beberapa buah pusat jagaan sekitar daerah Bentong.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut berkenan menyempurnakan pelancaran Charity Van Mohd Chan sebagai simbol komitmen berterusan terhadap kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat. -KESULTANAN PAHANG







