ALOR SETAR, 12 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berkenan berangkat bercemar duli menyertai aktiviti riadah mendaki Gunung Keriang di sini, semalam.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 5.30 petang telah disambut oleh Komandan Pangkalan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Azman bin Taib TUDM serta Pemangku Pegawai Memerintah Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2), Mejar Noor Fazdli bin Ahmad TUDM.
Gunung Keriang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Alor Setar merupakan sebuah formasi bukit batu kapur yang dianggarkan berusia lebih 250 juta tahun serta berketinggian 217.92 meter dari aras laut. Keunikan geologi dan nilai warisan semula jadinya menjadikan lokasi ini antara destinasi rekreasi dan pelancongan yang terkenal di negeri Kedah.
Sepanjang berada di puncak dan laluan pendakian, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut berkenan beramah mesra serta menyantuni para pengunjung yang sedang menjalankan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku mencerminkan minat Baginda terhadap amalan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal, di samping memberi sokongan terhadap usaha mempromosikan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi.- KESULTANAN PAHANG







