KUANTAN, 13 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Balai Temenggung, Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada jam 3.00 petang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman.
Majlis kali ini menyaksikan penyerahan zakat daripada 14 buah badan korporat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20.91 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
Badan korporat terlibat ialah Lembaga Tabung Haji, Koperasi Setiausaha Makmur Berhad (KOSMA), Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), YP Plantations Holding dan Kumpulan, Bank Rakyat, Amanah Saham Pahang (ASPA), PLUS Malaysia Berhad.
Public Islamic Bank Berhad (PIBB), Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Open University Malaysia (OUM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menyerahkan zakat perniagaan masing-masing. – KESULTANAN PAHANG








