ALOR SETAR, 2 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sembah Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 10.20 pagi disambut oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Kedah, Dato’ Seri Setia DiRaja Dato’ Paduka Haji Bakar bin Din.
Pada Majlis Sembah Mengadap tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut menyembah maklum ke sisi pengetahuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah berkenaan penyertaan Baginda dalam Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67 (A)/26 yang bermula hari ini.
Kursus berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan profesional penerbangan yang bertujuan memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan dalam aspek pengendalian dan operasi helikopter, selaras dengan komitmen berterusan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku terhadap pembangunan kepimpinan serta kecemerlangan dalam bidang ketenteraan.
Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni itu, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut mengambil kesempatan bertukar pandangan dan idea selain mendengar titah nasihat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.
Sebagai tanda kemesraan dan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua institusi diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah turut berkenan membawa Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersiar-siar di sekitar Istana Anak Bukit serta memperkenankan Paduka Baginda meninjau beberapa bahagian istana yang mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri.
Turut hadir mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Haji Mustapha TUDM serta Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM.- KESULTANAN PAHANG







