MARAN, 26 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir kilat di Perumahan Sri Jaya Makmur, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 1 tengah hari disambut oleh Pegawai Daerah Maran, Encik Che Wan Muhammed Salleh Al-Koris Che Wan Jaafar @ Wan Adnan, Yang Dipertua Majlis Daerah Maran, Encik Muhamad Anuarudin Mohd Yusoff @ Ahmad serta Timbalan Ketua Polis Daerah Maran, DSP Nor Azman Yusoff.
Kejadian banjir kilat yang berlaku pada petang semalam menyebabkan kira-kira 47 buah rumah melibatkan seramai 188 orang penduduk di kawasan berkenaan terjejas.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan meluangkan masa bertemu dan menyantuni mangsa-mangsa terlibat serta meninjau keadaan sekitar kawasan perumahan tersebut.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penerima-penerima yang hadir bagi meringankan beban mereka susulan bencana yang berlaku.
Keprihatinan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku jelas mencerminkan rasa kasih dan perhatian terhadap kebajikan rakyat yang berdepan kesukaran serta musibah.
Paduka Baginda turut berharap agar semua mangsa yang terlibat diberikan ketabahan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang proses pemulihan dijalankan oleh pihak berkaitan. – KESULTANAN PAHANG








