KUANTAN, 8 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kejayaan membawa Pahang ke tahap ekonomi yang cemerlang dan berdaya saing.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri yang telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.
Menurut Paduka Baginda, pencapaian kutipan hasil negeri bagi tahun 2025 sekali lagi melebihi RM1 bilion sekali gus mengekalkan rekod cemerlang bagi tahun keempat berturut-turut sejak 2022.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak 5.7 peratus dengan nilai ekonomi mencecah RM68 bilion telah meletakkan Pahang dalam kalangan empat negeri terbaik di Malaysia pada tahun 2024.
“Dalam tempoh 2019 hingga 2024, ekonomi negeri telah meningkat sebanyak 23 peratus yang mencerminkan keupayaan negeri ini untuk bangkit dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
“Saya juga berasa bangga apabila kerajaan saya telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM 18.04 bilion pada tahun lalu. Begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri yang turut menyumbang sebanyak RM 3.16 bilion kepada ekonomi neger.
Paduka Bagainda bertitah agar syarikat berkaitan kerajaan negeri terus diperkasakan sebagai pemacu utama ekonomi negeri di samping usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dipertingkatkan demi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda. -KESULTANAN PAHANG







