KUANTAN, 31 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Pahang Darul Makmur.
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dikecapi rakyat sepanjang 69 tahun kemerdekaan.
Paduka Baginda berdua bertitah, kemerdekaan dan kedaulatan negara merupakan amanah besar yang perlu dipelihara bersama, manakala perpaduan, sikap saling menghormati dan toleransi menjadi asas kepada keharmonian serta kestabilan negara.
Paduka Baginda berdua turut menyeru seluruh rakyat supaya terus menyemarakkan semangat patriotisme serta menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian sebagai landasan memperkukuh perpaduan dan jati diri rakyat.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar generasi muda sentiasa menghayati sejarah perjuangan negara serta memainkan peranan dalam memelihara warisan, budaya dan keharmonian masyarakat.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar Pahang Darul Makmur terus berada di bawah lindungan serta rahmat Allah SWT, dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan berpanjangan. – KESULTANAN PAHANG








