KUANTAN, 2 Mac 2026 – Pengertian Ramadan lebih bermakna di Istana Abdulaziz hari ini apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai kelas pembelajaran tulisan Jawi dan kelas Tamadun Islam.
Kelas berkenaan yang turut dihadiri pegawai-pegawai Istana Pahang dikendalikan oleh Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari, dalam usaha memperkukuh penguasaan serta memartabatkan warisan tulisan Jawi sebagai khazanah bangsa dan identiti umat Islam.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan komitmen tinggi institusi Kesultanan Pahang terhadap pemeliharaan tradisi ilmu dan budaya yang menjadi tunjang tamadun seterusnya mengimarah bulan Ramadan yang mulia ini.
Sejurus selesai sesi pembelajaran Jawi, Paduka Baginda turut berkenan menyertai kuliah agama bertajuk Tamadun Islam yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr. Haji Badli Shah Alauddin. Kuliah tersebut menyentuh peranan kegemilangan tamadun Islam dalam membentuk peradaban dunia serta kepentingan menghayati nilai-nilai ilmu, akhlak dan kepimpinan berteraskan syariat.
Program ilmiah ini jelas mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan Paduka Baginda dalam menyemarakkan budaya ilmu serta memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan masyarakat negeri ini. – KESULTANAN PAHANG








