KUANTAN, 28 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan pandangan agar hukuman khidmat masyarakat diperkasakan sebagai salah satu bentuk hukuman alternatif bagi kesalahan jenayah syariah.
Namun begitu, Paduka Baginda menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai suatu bentuk pembalasan, sebaliknya sebagai instrumen untuk membina keinsafan, memperbaiki akhlak serta memulihkan pesalah agar kembali menghayati nilai-nilai Islam dan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
“Kita kini sedang melangkah ke era baharu dalam pembangunan perundangan syariah yang menuntut pendekatan lebih progresif dan berorientasikan pemulihan.
“Ia (hukuman) alternatif bagi kesalahan syariah yang bersesuaian, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah memperkukuh fungsi sistem keadilan syariah sebagai wadah mendidik, membimbing dan memulihkan.
“Saya berharap agar perbincangan tersebut (mengenai hukuman) menghasilkan keputusan yang tuntas, praktikal dan berpandangan jauh demi memperkukuh pentadbiran keadilan syariah di Negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Kali Ke-199 di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Pada masa sama, Paduka Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Kesultanan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang atas penganugerahan Sijil Pengiktirafan Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026.
Padula Baginda menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti komitmen berterusan agensi-agensi kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus, membudayakan integriti serta melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah secara sistematik dan berkesan demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – KESULTANAN PAHANG







