TEKS penuh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ketika membentangkan syarahan bertajuk
‘Re-reading Malay Legal Manuscripts as Constitutional Texts : The Continuity of Hukum Kanun Melaka and Hukum Kanun Pahang di dalam Persidangan Antarabangsa dengan tema “Manuscripts and the Diversity of Islam (s) in Southeast Asia” di Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Depok, Jakarta pada Rabu, 19 Ogos 2026.
Kota Melaka Jatuh, Tetapi Melaka Tidak Mati.
“Membaca Semula Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang”
Sejak sekian lama, kita melihat Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang sebagai kitab undang-undang lama.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita melihatnya semula.
Perjalanan saya sendiri menelusuri manuskrip-manuskrip ini bermula dengan satu persoalan yang sangat mudah:
Adakah kita telah membacanya dengan cara yang betul?
Sudah tentu manuskrip-manuskrip ini mengandungi undang-undang. Ia berbicara tentang jenayah, hukuman, perdagangan, maritim, pentadbiran dan keadilan. Namun apabila saya membacanya dengan lebih dekat, saya mula menyedari bahawa manuskrip ini sebenarnya melakukan sesuatu yang jauh lebih besar.
Ia menggambarkan suatu susunan pemerintahan.
Ia berbicara tentang kedaulatan. Ia berbicara tentang Sultan. Ia menentukan kedudukan para menteri, hakim dan pegawai.
Ia menetapkan tanggungjawab. Ia menggariskan keadilan. Ia mengatur perdagangan dan kuasa maritim. Ia menjelaskan hubungan antara Islam, undang-undang dan adat.
Ini bukan sekadar peruntukan undang-undang yang berdiri sendiri. Apabila dibaca secara keseluruhan, semuanya membentuk suatu seni bina pemerintahan.
Dan tiba-tiba, sebuah manuskrip lama kelihatan sangat berbeza.
Kisah ini bermula di Melaka.
Kesultanan Melaka bukan sekadar sebuah pelabuhan yang makmur. Ia berkembang menjadi salah satu pusat politik dan ketamadunan terbesar di Alam Melayu. Melaka terhubung melalui perdagangan, diplomasi, Islam dan bahasa dengan suatu jaringan maritim yang luas, jauh melangkaui Semenanjung Tanah Melayu.
Tradisi politik dan perundangannya dipelihara dalam Hukum Kanun Melaka, yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi, bahasa yang kemudiannya menjadi lingua franca dunia maritim Melayu.
Hal ini penting.
Undang-undang paling berkesan merentas ruang apabila ia berbicara dalam bahasa tamadun yang diperintahnya.
Hukum Kanun Melaka bukan sekadar sebuah teks asing yang diterjemahkan untuk kegunaan tempatan. Ia diungkapkan dalam bahasa Melayu dan melalui pemikiran politik Islam, dalam dunia Kesultanan Melayu itu sendiri.
Ia lahir daripada tamadun tersebut.
Namun kisah itu tidak berakhir apabila Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Pada ketika itu, tradisi Melaka sebenarnya telah pun bergerak keluar.
Pada tahun 1470, Sultan Muhammad Shah, putera Sultan Mansur Shah dari Melaka dan Puteri Onang Sari, seorang puteri Pahang, telah mengasaskan Kesultanan Islam Pahang.
Ini berlaku lebih daripada empat puluh tahun sebelum jatuhnya Kota Melaka.
Kronologi ini penting.
Ia menunjukkan bahawa tradisi undang-undang dan politik Melaka telah pun berakar di Pahang ketika Melaka sendiri masih merupakan sebuah Kesultanan yang hidup dan berkuasa.
Lebih satu abad kemudian, Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah, Sultan Pahang yang kedua belas dan keturunan daripada jalur Melaka-Pahang itu, telah memelihara, memperhalusi dan mengkodifikasikan warisan yang diterima itu dalam apa yang kini kita kenali sebagai Hukum Kanun Pahang.
Oleh itu, HKP bukan sekadar sebuah lagi kanun undang-undang.
Dalam banyak aspek, ia merupakan kesinambungan HKM di Pahang.
Ia mengekalkan teras perlembagaan tradisi Melaka sambil memperhalusi serta menyesuaikannya dengan realiti politik, pentadbiran dan maritim sebuah lagi pemerintahan Melayu-Islam yang berdaulat.
Kita mungkin boleh membayangkannya sebagai edisi kedua daripada sebuah tradisi perlembagaan.
Bukan pengganti.
Bukan dunia undang-undang yang berbeza.
Tetapi suatu kesinambungan.
Penyelidikan saya menjadi lebih menarik apabila saya menemui manuskrip-manuskrip lengkap Pahang yang masih terselamat.
Manuskrip D kembali ke Pahang dari Patani pada tahun 1993.
Manuskrip E menyusul pada tahun 1999.
Kemudian, pada Mac 2026, muncul sebuah lagi manuskrip lengkap, Manuskrip F, yang kini sedang melalui proses konservasi dan pemeliharaan.
Apabila ketiga-tiganya dibaca bersama, kita dapat melihat bukan sahaja pemeliharaan, tetapi juga perkembangan.
Manuskrip-manuskrip ini menunjukkan suatu tradisi undang-undang yang disalin, disebarkan, disesuaikan dan diingati merentasi zaman.
Ia juga menunjukkan bahawa tradisi ini tidak pernah terbatas kepada Pahang semata-mata.
Kanun-kanun yang berkaitan turut muncul di seluruh Alam Melayu yang lebih luas, termasuk di Brunei, Riau, Sambas dan Perak, manakala Manuskrip E sendiri mengandungi bahan yang berkaitan dengan Aceh.
Inilah sebabnya saya tidak lagi melihat manuskrip-manuskrip ini sebagai kanun negeri yang terpisah-pisah.
Saya melihatnya sebagai sebuah keluarga teks.
Suatu tradisi perundangan dan perlembagaan Melayu-Islam yang dikongsi bersama.
Kesultanan-kesultanan Melayu dihubungkan oleh banyak perkara.
Perkahwinan dinasti menghubungkan mereka.
Perdagangan menghubungkan mereka.
Islam menghubungkan mereka.
Dan mungkin yang paling penting, bahasa menghubungkan mereka.
Bahasa Melayu, yang ditulis dalam Jawi Melayu, menjadi salah satu wahana besar yang membolehkan undang-undang, pemikiran politik dan kedaulatan bergerak merentasi dunia maritim.
Undang-undang bergerak kerana manusia bergerak.
Bahasa bergerak kerana manusia berdagang.
Dan tradisi perlembagaan bergerak kerana Kesultanan-kesultanan itu kekal saling berhubung.
Ini juga merupakan sebuah tamadun maritim.
Hukum Kanun Pahang tidak hanya mengatur kehidupan di daratan. Ia mengandungi peruntukan mengenai perdagangan, pelabuhan, laluan air, pegawai dan laut.
Ruang perlembagaannya terbentang dari istana ke sungai, dari sungai ke pelabuhan, dan dari pelabuhan ke dunia maritim yang lebih luas.
Hal ini penting kerana sesebuah perlembagaan perlu difahami dalam konteks tamadun yang diperintahnya.
Dan Alam Melayu ialah sebuah tamadun maritim.
Mungkin kejutan terbesar dalam penyelidikan saya ialah apa yang manuskrip-manuskrip ini lakukan terhadap tesis saya sendiri.
Ketika mula menulis, tajuk kerja saya ialah:
Daripada Monarki Mutlak kepada Monarki Berperlembagaan.
Kemudian bukti-bukti manuskrip membuktikan bahawa andaian awal saya tidak tepat.
Saya telah bermula dengan suatu andaian moden, seolah-olah monarki berperlembagaan ialah sesuatu yang hanya dicapai oleh Kesultanan Melayu pada zaman kemudian.
Namun manuskrip-manuskrip ini memaksa saya bertanya soalan yang berbeza.
Bagaimana jika pemerintahan beraja Melayu sebenarnya tidak pernah “mutlak” dalam erti kata pemerintahan tanpa undang-undang?
Bagaimana jika kedaulatan sejak dahulu lagi beroperasi dalam suatu aturan normatif yang dibatasi oleh Islam, undang-undang, adat, keadilan, jawatan serta tanggungjawab?
Apa yang saya temui bukanlah permulaan perlembagaan.
Sebaliknya, saya menemui kelangsungan sebuah tradisi perlembagaan pribumi yang jauh lebih tua.
Ini tidak bermaksud bahawa perlembagaan moden adalah sama dengan kanun-kanun lama.
Sudah tentu tidak.
Tetapi ia bermaksud bahawa gagasan tentang pemerintahan yang teratur, kedaulatan yang tertakluk kepada undang-undang, tanggungjawab, keadilan dan kuasa institusi tidak muncul secara tiba-tiba di Alam Melayu melalui instrumen perlembagaan Eropah.
Istilah mungkin berubah.
Bentuk mungkin berubah.
Tetapi gagasan pemerintahan di bawah undang-undang jauh lebih tua.
Dan barangkali, inilah sebabnya manuskrip-manuskrip ini wajar dibaca semula.
Bukan semata-mata kerana kesalahan yang dihukumnya.
Bukan sekadar kerana adat.
Bukan hanya sebagai tinggalan undang-undang zaman pra-moden.
Tetapi kerana apa yang diceritakannya tentang kedaulatan.
Tentang pemerintahan.
Tentang keadilan.
Tentang kuasa politik.
Tentang tanggungjawab seorang pemerintah.
Dan tentang susunan sebuah negara Melayu-Islam.
Kota Melaka jatuh pada tahun 1511.
Tetapi Melaka tidak mati.
Rajanya bergerak.
Rakyatnya bergerak.
Bahasanya merantau.
Undang-undangnya merantau.
Dinastinya berterusan.
Dan ingatan perlembagaannya terselamat.
Ia terselamat di Pahang.
Ia terselamat di Kesultanan-kesultanan Melayu yang lain.
Dan ia terus hidup dalam manuskrip-manuskrip yang berada di hadapan kita hari ini.
Melaka melahirkannya.
Pahang memelihara dan memperhalusinya.
Alam Melayu mewarisinya.
Oleh itu, manuskrip-manuskrip ini bukan sekadar warisan Pahang.
Ia adalah khazanah bersama Alam Melayu.
Saya berharap pengenalan ringkas ini akan mendorong para sarjana untuk kembali menelitinya, mengkajinya dengan lebih mendalam, dan mungkin membacanya dengan pandangan yang baharu.
Kerana sebelum kita bertanya dari mana datangnya perlembagaan moden kita, mungkin kita perlu terlebih dahulu mengingati tamadun berperlembagaan yang telah pun wujud di sini.
Salasilah para Sultan akhirnya menjadi salasilah idea.
Dan jika Sulalatus Salatin, karya Tun Seri Lanang, boleh dibaca sebagai salasilah raja-raja, maka barangkali Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang juga harus dibaca sebagai sesuatu yang sama penting: sebuah salasilah pemikiran perlembagaan.- KESULTANAN PAHANG









