KUANTAN, 1 Mac 2026 – Seluruh masjid dan surau di Negeri Pahang hari ini melaksanakan solat hajat secara serentak bagi mendoakan keselamatan negara-negara Islam khususnya di Timur Tengah serta rakyat Malaysia yang berada di sana.
Solat hajat tersebut diadakan selepas solat Isyak sebelum solat Tarawih, selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Langkah ini diambil susulan situasi pergolakan yang melanda beberapa negara Islam di Timur Tengah ketika ini yang dikhuatiri boleh mengancam keamanan dan keselamatan umat Islam, termasuk rakyat Malaysia yang berada di rantau berkenaan.
Melalui penganjuran solat hajat ini, umat Islam di seluruh Pahang bermunajat dan memohon agar Allah SWT mengurniakan perlindungan, kesejahteraan serta menjauhkan segala bentuk bencana dan musibah daripada negara-negara terlibat dan rakyat Malaysia di luar negara.
Pihak pentadbiran masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah dimaklumkan lebih awal bagi memastikan pelaksanaan solat hajat berjalan lancar dan teratur.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan serta solidariti umat Islam di negeri ini terhadap saudara seagama yang sedang berdepan ujian dan ketidaktentuan. -KESULTANAN PAHANG








