KUANTAN, 7 September 2026 – Pelajar Institut Kraf Negara (IKN) mengungguli Piala Tengku Puteri Jihan – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026 apabila memenuhi senarai pemenang pertandingan yang berlangsung sempena Temasya Warisan Pahang 2026.
Lebih istimewa kesemua pemenang merupakan pelajar Jurusan Seni Kraf Tenunan, Institut Kraf Negara (IKN) yang turut serta bersaing dengan menampilkan bakat dan identiti kreatif masing-masing.
Nur Hanania Dayini binti Mohamad Fadhil dan Nurul Balqish binti Jaafar muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Tempat kedua dimenangi Nurul Fazlyana binti Mohd Fairuz dan Eva Ernelly Petrus dengan hadiah RM7,500, manakala tempat ketiga disandang Nurul Huda binti Hamdan dan Aisyah Nur Wahida binti Ainal Razlin yang menerima RM5,000.
Dua lagi pasangan penuntut IKN, Jeni Elina Sarail dan Ivy Anak Badin, serta Allyssa Amanda Anak Raymond dan Vivyene Voon Xien Sin, masing-masing menerima hadiah Saguhati bernilai RM1,500.
Kesemua pemenang Piala Tengku Puteri Jihan bagi tahun ini terdiri daripada penuntut Institut Kraf Negara, sekali gus memperlihatkan potensi generasi muda dalam menguasai dan meneruskan warisan seni Tenun Pahang Diraja.
Piala Tengku Puteri Jihan diperkenalkan khusus bagi memberi ruang kepada peserta dalam kategori pelajar untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka dalam seni tenun.
Pertandingan ini merupakan antara usaha memperkasa generasi muda dalam bidang kraf tradisional, di samping memastikan seni Tenun Pahang Diraja terus dipelihara, dipertingkatkan dan diwarisi oleh generasi akan datang. – KESULTANAN PAHANG








