KUANTAN, 2 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar usaha memperkukuh infrastruktur tebatan banjir disertai dengan kerja-kerja pendalaman sungai secara berterusan bagi memastikan langkah mitigasi banjir dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Paduka Baginda bertitah, sungai yang semakin cetek akan menyebabkan air melimpah ke kawasan penempatan biarpun benteng tebatan dibina pada skala yang besar.
“Saya sentiasa mengingatkan mana-mana kampung ataupun bandar yang tepi sungai, sungai ini perlu didalamkan. Perlu didalamkan kerana tidak ada gunanya tebatan setinggi mana sekali pun kalau sungai kita semakin cetek, semakin hari semakin cetek.
Air akan melimpah ke kawasan-kawasan di sekitaran. 𝑺𝒐 itu adalah satu formula yang cukup mudah,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing yang merupakan balai bomba dan penyelamat ke-29 di Pahang, hari ini.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Kerajaan Persekutuan serta Ahli Parlimen Paya Besar atas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur termasuk projek tebatan banjir di Sungai Lembing yang menelan perbelanjaan besar demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Paduka Baginda, Sungai Lembing merupakan antara kawasan yang sering menjadi petunjuk awal berlakunya banjir di negeri Pahang dan memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyambut baik pelan strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Paduka Baginda berharap lebih banyak Balai Bomba dan Penyelamat dapat dibina di seluruh negeri Pahang bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana dan kecemasan.
Paduka Baginda bertitah, selain cadangan pembinaan balai bomba di beberapa lokasi termasuk Tioman dan Benta, penubuhan Pasukan Bomba Sukarela di Kampung Bantal juga wajar dipertimbangkan memandangkan kedudukannya yang jauh di pedalaman serta sukar mendapat bantuan kecemasan dengan segera. – KESULTANAN PAHANG





