KUANTAN, 7 Mei 2026 – Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan Muzium Pahang sekali lagi menganjurkan pertandingan Piala Tunku Azizah (PTA) sebagai platform memberi penghargaan serta pengiktirafan kepada artisan melalui karya kain Tenun Pahang Diraja yang cukup eksklusif.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang juga Pengerusi YTPD bertitah, penganjuran kali kedua ini iaitu yang pertama pada tahun lalu akan memfokuskan kepada kain samping, tanjak dan bengkung berbanding sebelum ini kain samping dan sarung corak beragi.
“Penganjuran PTA bertujuan mencungkil bakat penenun yang kreatif dan inovatif bagi menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berestetika tinggi dari aspek rekaan, teknik dan kemahiran yang mempunyai nilai komersial.
“Dalam masa yang sama ia juga mengangkat dan melestarikan budaya serta warisan seni kraf Tenun Pahang Diraja ke peringkat kebangsaan dan persada antarabangsa,” titah Paduka Baginda dalam sidang media di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim bin Ali; Pengarah Muzium Pahang, Dato’ Ahmad Farid bin Abdul Jalal; Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Juhari bin Azmi dan Setiausaha Kehormat YTPD, Dato’ Zuraida binti Mokhtar.
Paduka Baginda bertitah, hadiah wang tunai sebanyak RM151,000.00 diperuntukkan kepada semua pemenang iaitu tempat pertama menawarkan sebanyak RM30,000.00 beserta piala dan sijil.
“Tempat kedua sebanyak RM20,000.00 berserta piala dan sijil manakala tempat ketiga sebanyak RM10,000.00 berserta piala dan sijil. Cukup istimewa apabila terdapat lima hadiah saguhati yang menawarkan wang tunai sebanyak RM5,000.00, kategori The Queen’s Choice sebanyak RM5,000.00 dan 12 hadiah penghargaan sebanyak RM3,000.00 dengan semua pemenang turut diberikan piala dan sijil penyertaan.
” Antara syarat utama penyertaan ialah peserta mesti warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Terbuka kepada individu atau kumpulan yang tidak melebihi tiga orang. Semua penyertaan mesti nilai warisan Malaysia dalam aspek motif, warna, teknik, amalan budaya dan lain-lain yang bersesuaian,” titah baginda.
Tambah Paduka Baginda, tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 22 Mei 2026 pada pukul 5.00 petang. Manakala tarikh hantar produk siap pada 15 Ogos 2026.
“Semua lapisan masyarakat adalah dipelawa untuk menyertainya dan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia, Juhari bin Azmi di talian 012-4292549 atau email [email protected] dan juga melewati lama sesawang https://ikn.edu.my/pialatunkuazizah,” titah baginda.- KESULTANAN PAHANG








