KUANTAN, 7 September 2026 – Prospek Penjara Penor sekali lagi melakar sejarah apabila mengungguli Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026, yang berlangsung sempena Temasya Warisan Pahang 2026.
Kejayaan itu membuktikan bakat dan kemahiran penghuni institusi pemulihan itu dalam bidang tenunan, sekali gus memperlihatkan keberkesanan seni warisan sebagai salah satu medium pemulihan dan pembangunan diri.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah, seni tenun bukan sahaja menghasilkan karya yang indah, malah mempunyai nilai terapeutik yang mampu membantu penghuni penjara membina kehidupan baharu.
“Mereka yang mengikuti program tenun tidak kembali kepada jenayah yang pernah dilakukan.
“Ada sesuatu tentang menenun yang bersifat terapeutik, menenangkan mereka dan membantu mereka untuk tidak kembali kepada jenayah terdahulu,” titah Paduka Baginda.
Pemenang tempat pertama Piala Tunku Azizah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 berserta piala dan sijil penghargaan, manakala hadiah tempat kedua dan ketiga masing-masing bernilai RM20,000 dan RM10,000.
Selain itu, enam pemenang kategori Queen’s Choice, yang menampilkan hasil tenun pilihan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Pemenang utama turut dipilih oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang sebagai salah satu pemenang Queen’s Choice sekaligus membawa pulang wang keseluruhan sebanyak RM35,000.
Sementara itu, Piala Tengku Puteri Jihan yang dikhususkan kepada peserta kategori pelajar dimenangi penuntut Institut Kraf Negara, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Mahkota Pahang pada Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026, malam tadi.
Pada pertandingan tahun ini, seramai 107 peserta dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan yang mempertandingkan penghasilan sampin, tanjak dan bengkung, termasuk penenun profesional serta pelajar.
Kejayaan peserta institusi penjara turut menyerlah apabila barisan pemenang didominasi peserta dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, meneruskan pencapaian membanggakan pada edisi tahun lalu apabila 18 daripada 20 finalis terdiri daripada penghuni penjara dan hadiah utama dimenangi peserta Penjara Penor.
Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026 menjadi antara pengisian utama Temasya Warisan Pahang 2026 dalam usaha memartabatkan Tenun Pahang Diraja serta memastikan warisan seni tradisional itu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang. – KESULTANAN PAHANG








