KUANTAN, 28 Jun 2026 – Suasana hiba dan pilu menyelubungi Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan berangkat menziarahi jenazah allahyarham YH Tok Luar, Dato’ Haji Jamaluddin bin Haji Ahmad yang meninggal dunia pada pukul 6.48 pagi tadi.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada jam 2.00 petang hari ini jelas memperlihatkan duka yang mendalam di wajah baginda.
Mengiringi keberangkatan tersebut ialah YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda membuktikan tingginya nilai persahabatan yang terjalin apabila mempercepatkan lawatan kerja selama dua hari di Pulau Tioman menjadi satu hari.
Semuanya dilakukan bukan sahaja demi memastikan dapat berangkat memberikan penghormatan terakhir buat seorang sahabat tetapi tetap melaksanakan tugasan menyantuni rakyat seperti yang dijadualkan.
Terdahulu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut berkenan berangkat menziarahi jenazah allahyarham di masjid berkenaan dan menyantuni isteri serta anak-anak allahyarham.
Jenazah Dato’ Jamaluddin yang berusia 75 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Setali, Kuantan pada pukul 3.00 petang. – KESULTANAN PAHANG







