KUANTAN, 24 Ogos 2026 – Temasya Warisan Pahang 2026 pada tahun ini terus menjadi platform meraikan seni warisan Pahang dan lebih istimewa, Piala Tengku Puteri Jihan diperkenalkan sebagai satu inisiatif baharu bagi memberi ruang kepada golongan muda khususnya pelajar mengetengahkan kreativiti serta kemahiran dalam seni tenunan.
Temasya yang bakal menghidupkan suasana warisan, seni dan budaya negeri Pahang itu menampilkan pelbagai program menarik yang berlangsung selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 7 September 2026, bertempat di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah, pengenalan Piala Tengku Puteri Jihan itu dibuat susulan penyertaan pelajar yang berminat dalam pertandingan tenunan, sekali gus memberi peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan.
“Daripada keseluruhan 107 penyertaan yang diterima, sebanyak 12 penyertaan adalah daripada pelajar.
“Mereka baru nak belajar, jadi kita keluarkan mereka dan buat Piala Tengku Puteri Jihan,” titah Paduka Baginda dalam satu sidang media yang diadakan di MOCA hari ini.
Paduka Baginda bertitah, penyertaan golongan pelajar berkenaan tidak seharusnya dibandingkan secara langsung dengan penenun berpengalaman yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mencungkil dan membina bakat baharu dalam seni tenunan.
Namun demikian, Paduka Baginda bertitah, terdapat dalam kalangan 12 penyertaan berkenaan yang mampu menghasilkan tenunan yang setanding dari segi kualiti dan reka bentuk dengan hasil karya penenun berpengalaman.
“Dalam 12 itu ada yang setanding dengan penenun handal kita. Kita nak tunjukkan pelajar boleh hasilkan sekeping kain yang kualiti dan reka bentuk setanding penenun lama.”
Paduka Baginda bertitah, aspek kreativiti, nilai artistik dan kemahiran yang ditunjukkan oleh golongan muda itu menjadi antara sebab utama Piala Tengku Puteri Jihan diperkenalkan pada Temasya Warisan Pahang tahun ini.
“Artistik dan kemahiran itu yang kita nak lihat, itu sebabnya kita buat Piala Tengku Puteri Jihan,” titah Paduka Baginda.
Titah Paduka Baginda lagi, pengenalan piala khas itu juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memastikan seni tenunan Pahang terus berkembang serta mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Temasya Warisan Pahang 2026 turut menjadi medan untuk masyarakat mengenali, menghargai dan menghayati kekayaan warisan negeri menerusi pameran, pertandingan, demonstrasi serta pelbagai aktiviti berkaitan seni dan budaya tradisional Pahang.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan penyertaan golongan muda dalam pertandingan tenunan itu mampu membuktikan bahawa warisan tradisional bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya mampu terus berkembang melalui sentuhan kreativiti dan inovasi generasi baharu. -KESULTANAN PAHANG







