KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Sempena Aidiladha kali ini, dengan penuh rasa syukur, Saya bersama Tengku Ampuan Pahang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Negeri Pahang Darul Makmur walau di mana jua berada.
Aidiladha merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah sesama umat Islam.
Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan.
Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, saya menyeru agar seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini, terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat.
Seperti mana yang dizahirkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj menerusi Perutusan Aidiladha 2026 yang menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat.
Aidiladha membawa pengajaran mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah selain menjadi lambang kesatuan umat Islam tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
Dalam hal ini jua, Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah melalui firmanNya:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang sabar.” (Al-Anfal : 46)
Saya percaya bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama.
Saya juga berharap agar seluruh rakyat di negeri ini sentiasa memelihara adab, memperkukuhkan semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.
Pada kesempatan ini juga, saya bersama Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik, memperoleh haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
See less








