KUANTAN, 2 Julai 2026 – Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syukur ke hadrat Allah SWT kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang sempena keputeraan seorang cucunda puteri pada hari ini.
Cucunda puteri yang lahir pada jam 3.35 petang tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara dan Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra.
Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa syukur atas khabar gembira ini serta bersama-sama menadah tangan memohon ke hadrat Allah SWT agar mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan kepada bayi yang baharu diputerakan, serta dipermudahkan segala urusan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara dan Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara.
Semoga cucunda perempuan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ini membesar sebagai anakanda yang solehah, dikurniakan keimanan, kebijaksanaan, akhlak yang mulia serta menjadi penyejuk hati keluarga dan membawa keberkatan kepada institusi Kesultanan Pahang. – KESULTANAN PAHANG





