KUANTAN, 3 Ogos 2026 – Dengan penuh rasa hormat dan takzim, seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) merafakkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan kepada Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 Ogos 2026 bersamaan 19 Safar 1448H.
Patik sekalian dengan penuh ikhlas menadah tangan ke hadrat Allah SWT agar Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara sentiasa berada dalam limpahan rahmat, keberkatan dan inayah-Nya, dikurniakan kesihatan yang sempurna, dipanjangkan usia, dilimpahkan rezeki yang berkat, dianugerahkan kebahagiaan yang berpanjangan serta sentiasa berada di bawah lindungan, petunjuk dan kasih sayang Allah SWT.
Semoga Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara terus dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan kecekalan dalam meneruskan legasi institusi Kesultanan Pahang serta sentiasa menjadi kebanggaan rakyat dan negeri. -KESULTANAN PAHANG






