PEKAN, 24 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 orang penerima termasuk asnaf, institusi masjid, pusat pengajian dan saudara baru.

Titah Paduka Baginda, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan.

“Saya ingin mengingatkan berkenaan Zakat Fitrah yang merupakan kewajipan yang sering dipandang ringan. Ia bukan sekadar rukun Islam, tetapi lambang keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius.

“Saya menyeru seluruh umat Islam di negeri ini, agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah yang menyucikan jiwa dan melengkapi amalan Ramadan. Semoga zakat yang ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Pahang agar menyambut lebaran tidak lama lagi dengan kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang.

“Saban tahun, pembaziran sentiasa berlaku apabila masuknya bulan Ramadan. Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan ramadan pada tahun 2023 yang lalu, dan angka ini melonjak menjelang hari raya.

“Ingatlah, setiap sen yang dibelanjakan berlebihan, setiap juadah yang dibazirkan, itu bukan cerminan islam yang sebenar,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Jadilah pemandu yang berhati, dan tidak mementingkan diri. Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan yang tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan.

“Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati dalam bergaya, utamakanlah keselamatan, hargailah keluarga dan insan tersayang. Kerana itulah, sebenar-benar makna hari raya,” akhiri Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG