KUANTAN, 22 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Diraja dan Pelancaran Buku Daulat Tuanku sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Pahang di Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini malam tadi.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua pada jam 8.30 malam disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib; Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, YH Dato’ Setia Jaya Dato’ Ahmad Farid bin Abd Jalal serta barisan kepimpinan negeri.
Turut mengiringi keberangkatan Paduka Baginda berdua ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Paduka Baginda berdua kemudian berangkat menyaksikan Pameran Khas sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Pahang yang mengetengahkan perjalanan sejarah, warisan serta khazanah dan budaya yang dipelihara sejak penubuhan muzium berkenaan.
Paduka Baginda seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Buku Daulat Tuanku.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan rasa bangga dan terharu terhadap pencapaian serta perkembangan Muzium Pahang sepanjang lima dekad penubuhannya.
Paduka Baginda turut mengimbas kembali kenangan zaman muda di Istana Kota Beram di mana ia merupakan istana Almarhum Nenda Paduka Baginda, Sultan Abu Bakar sebelum ditukar menjadi sebuah muzium.
“Muzium di Pekan itu adalah istana tempat Almarhum Nenda saya bersemayam. Di (istana) situ sempat jugalah bermain-main, bersantap siang dan malam di mana ketika itu saya berusia belasan tahun.
“Sehinggalah Almarhum Paduka Nenda saya mangkat pada tahun 1974, saya pula ditabalkan menjadi Tengku Mahkota Pahang pada tahun 1975 dan dihantar ke London untuk belajar di sana. Jadi apabila istana itu ditukar ke muzium saya tidak berada di Pahang dan hanya melawat ketika pulang setiap tahun,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga kerana dapat melihat sendiri perubahan muzium berkenaan yang cukup menakjubkan dari dahulu sehingga kini.
“Saya difahamkan Muzium Pahang adalah antara institusi permuziuman terbaik di rantau ini dan banyak terima teguran-teguran positif.
“Saya akui muzium ini berlainan dengan muzium yang lain dan saya harap muzium ini akan terus dipertingkatkan dan dicantikkan lagi untuk masa akan datang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







