KUANTAN, 27 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang mengadakan solat hajat serta doa menolak bala pada malam Jumaat, esok.
Titah tersebut dizahirkan berikutan beberapa siri bencana gempa bumi yang melibatkan Malaysia baru-baru ini, sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan Paduka Baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri.
Paduka Baginda bertitah agar umat Islam di negeri Pahang sentiasa memperkukuhkan doa, meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah.
Paduka Baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa agar Allah SWT melindungi negeri ini daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat. -KESULTANAN PAHANG