KUALA LUMPUR, 2 Sept. 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Tsukuba, Jepun.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis tersebut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut mengiring ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 2 petang disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata; Presiden Universiti Tsukuba, Dr. Kyosuke Nagata serta Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Encik Khozo Tashima.
Penganugerahan berprestij itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Paduka Baginda dalam bidang sukan dan pendidikan, selain mencerminkan hubungan persahabatan serta kepercayaan yang kukuh antara Malaysia dan Jepun.
Dalam titah ucapan, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Presiden, fakulti serta seluruh warga Universiti Tsukuba atas pengiktirafan bermakna itu.
Paduka Baginda turut menekankan bahawa penganugerahan ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbol jalinan erat kedua-dua negara.
Paduka Baginda turut mengimbau kenangan pada tahun 2019 ketika lawatan rasmi ke Tokyo bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito, di mana Paduka Baginda berpeluang bertemu dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
“Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada perbincangan mengenai penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia dan kini, visi tersebut telah direalisasikan dengan wujudnya kampus Universiti Tsukuba Malaysia di Kuala Lumpur yang boleh disifatkan sebagai mercu tanda kerjasama dalam pendidikan dan teknologi antara kedua-dua negara.
“Pendidikan adalah asas utama dalam membina masyarakat yang lebih kukuh, adil dan berdaya tahan. Malaysia dan Jepun telah lama berkongsi kerjasama dalam bidang ini dan saya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian di institusi berprestij ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menegaskan bahawa hubungan negara dan Universiti Tsukuba Malaysia merupakan satu jambatan ilmu, inovasi dan persefahaman budaya yang akan memberi manfaat besar kepada generasi akan datang.
“Semoga persahabatan antara Malaysia dan Jepun terus terjalin erat dan semoga pendidikan selama-lamanya menjadi mercu tanda harapan, kemajuan serta keharmonian untuk seluruh dunia.
“Saya dengan penuh keikhlasan berdoa agar Universiti Tsukuba terus berkembang maju dan berjaya, serta Kampus Universiti Tsukuba Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat cemerlang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






