TEMERLOH, 19 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Paya Luas, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda dengan memandu sendiri pada pukul 12.20 tengahari diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Islanizam bin A. Halim.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 50 orang penerima melibatkan penduduk daripada empat buah daerah iaitu Temerloh, Bera, Jerantut dan Maran.
Paduka Baginda juga turut menzahirkan harapan agar pemberian rumah Ru’RASA atau apa sahaja jenis rumah yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri untuk rakyat dihargai dengan sebaik mungkin.
“Saya harap jadikanlah rumah yang diterima ini seperti syurga untuk berteduh bersama keluarga. Rumah ini untuk penerima, anak cucu tinggal di situ buat selamanya, jangan cepat fikir perkara yang tidak baik.
“Jaga rumah ini sebaik mungkin, jadikan ia sebagai tempat untuk tunaikan ibadah dengan selesa,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah agar pihak berkaitan turut memberi pertimbangan kepada kaum lain dalam permohonan rumah kerana mereka juga rakyat Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda meminta agar masalah serta rungutan berkenaan bekalan air diambil berat dan tidak hanya menumpukan kepada projek yang sedang berjalan.
“Saya harap masalah air yang masih berlaku di kawasan kampung tradisional, kampung-kampung orang asli dapat diberi perhatian. Bagi keyakinan kepada rakyat bahawa masalah air akan diselesaikan secara berkesan.
“Dalam masa tetdekat saya hendak taklimat terperinci di pejabat saya (berkaitan masalah/ projek bekalan air) untuk saya lihat. selama ini saya tidak ambil berat kerana saya tahu projek-projek sedang berjalan dan dari semasa ke.semasa saya dapat baca dan lihat daripada laporan yang disampaikan kepada saya.
“Kali ni saya nak tengok sendiri, saya nak lihat sendiri projek-projek di daerah-daerah di seluruh negeri Pahang ini,” titah Paduka Baginda. — KESULTANAN PAHANG