KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menggesa Kerajaan Persekutuan bersama agensi berkaitan memperkukuh kawalan sempadan dan memperkemas pengurusan pelarian bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Paduka Baginda bertitah, isu lambakan warga asing termasuk keberadaan pelarian yang tidak diurus secara teratur perlu diberikan perhatian serius kerana boleh menimbulkan pelbagai cabaran terhadap keselamatan, kesejahteraan sosial, kebersihan persekitaran dan ketenteraman awam.
Paduka Baginda turut berpandangan bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan membuat penilaian menyeluruh dan mempertimbangkan secara serius kewajaran meneruskan operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, termasuk kemungkinan menamatkan operasinya sekiranya fungsi dan keberkesanannya tidak lagi memenuhi keperluan serta kepentingan negara.
“Kehadiran sesebuah organisasi antarabangsa seharusnya membantu meringankan beban negara, bukannya mewujudkankeadaan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat tempatan.
“Jangan sampai atas nama kemanusiaan, kedaulatan negara dipandang ringan; dan jangan pula atas nama perlindungan, undang-undang negara seolah-olah kehilangan keutamaannya.
“Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, tetapi tidak sesekali boleh menggadaikan kedaulatan dan keselamatannya atas nama kemanusiaan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 di sebuah hotel di sini kelmarin.
Paduka Baginda menegaskan bahawa setiap individu yang berada di negara ini wajib menghormati undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa tanpa mengira asal usul mahupun latar belakang.
Sehubungan itu, Paduka Baginda mahu segala tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang, dengan tanggungjawab utama kerajaan adalah mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung keluhuran undang-undang serta menjamin kesejahteraan rakyat. – KESULTANAN PAHANG





