KUANTAN, 22 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan takziah dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris Allahyarham Laskar Udara 1, Muhammad Daniel Bin Khairul Azha yang meninggal dunia akibat lemas di Air Terjun Giam di Jalan Puncak Borneo, Padawan Sarawak, semalam.
Kurniaan Paduka Baginda disampaikan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM kepada bapa Allahyarham, Encik Khairul Azha bin Osman di Pangkalan Udara Kuantan, petang tadi.
Jenazah Allahyarham yang bertugas di Cawangan Bomba Pangkalan Udara Kuching tiba di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira 6 petang untuk dibawa pulang ke rumah di Felda Keratong 08, Muadzam Shah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Keratong 08 mengikut istiadat ketenteraan pada malam ini juga. -KESULTANAN PAHANG