KUANTAN, 28 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin atas pemergian bondanya, Allahyarhamah Hajah Esah binti Tahar, yang kembali ke Rahmatullah pada pukul 5.15 pagi hari ini di sebuah hospital di Damansara kerana sakit tua.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT, ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta seluruh ahli keluarga diringankan kesedihan dan dikurniakan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini. -KESULTANAN PAHANG