TEMERLOH, 4 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Cawangan (LEC) Ke-3 dan Picnic Pandu Puteri di D’coconuts Agro Farm Mentakab, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang disambut Ketua Pesuruhjaya Cawangan Pahang, Puan Nor Azlina Zainab Abidin; Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli serta pemilik D’coconuts Agro Farm, Haji Azali Hashim.
Paduka Baginda berkenan mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang berlangsung selama lebih dua jam bagi membincangkan pelbagai perkara dan perancangan aktiviti Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan ke jamuan santapan tengahari sebelum meluangkan masa memancing di kolam ikan dan melihat sekitar D’coconuts Agro Farm yang menyediakan lokasi penginapan untuk pengunjung yang gemar kepada suasana alam semula jadi. -KESULTANAN PAHANG