TAIPING, 27 April 2026 – Seramai 14 pengiring rapat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selesai menyertai Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air Siri 2/2026, hari ini.
Majlis Pemakaian Sayap Penerjunan dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad di Lapangan Terbang Tekah di sini.
Turut hadir ialah Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Dato’ Sayani binti Haji Saidon dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Pahang, SAC Dato’ Rosman bin Kasman.
Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air Siri 2/2026 berlangsung selama 12 hari bermula 16 hingga 27 April 2026, melibatkan dua fasa utama.
Fasa pertama merangkumi latihan teori yang diadakan dari 16 hingga 21 April di Markas Rejimen, TUDM Jugra manakala fasa kedua iaitu latihan penerjunan telah dilaksanakan sebanyak 12 kali dari 23 hingga 27 April di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.
Kursus ini diselaraskan oleh Juruiring Udara kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kolonel Mohamad Razlan Jamaludin TUDM melibatkan seramai 14 anggota lain-lain pangkat daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan anggota Pengiring Rapat dalam melaksanakan tugas-tugas khas, khususnya yang melibatkan elemen penerjunan taktikal, selaras dengan keperluan operasi semasa.
Majlis pemakaian sayap ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap kejayaan peserta menamatkan latihan dengan jayanya, sekali gus menandakan tahap kompetensi dan profesionalisme yang tinggi dalam kalangan anggota yang terlibat. -KESULTANAN PAHANG






