BENTONG, 9 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Emirates Red Crescent (ERC) di Kampung Perdak hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung Emirates Red Crescent, Tuan Yang Terutama Ahmed Sari Almazrouei; Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia; Tuan Yang Terutama Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri, serta deleg si Emirates Red Crescent (ERC) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Ahmad Islanizam A.Halim.
Sebanyak 121 buah unit rumah bantuan mangsa banjir ERC bernilai keseluruhan RM12.2 juta, termasuk pembelian perabot, telah dibina di tujuh daerah iaitu Bentong, Jerantut, Lipis, Maran, Pekan, Raub dan Temerloh.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan mengurniakan 28 buah Rumah Emirates Red Crescent (ERC) dan empat buah Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada penerima dari daerah Bentong.
Paduka Baginda dalam titah mengakui bahawa bantuan rumah kepada mangsa banjir yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini begitu dekat di hati Paduka Baginda malah sentiasa mengambil maklum mengenai perkembangan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Paduka Baginda juga turut menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Presiden UAE Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman demi keselesaan rakyat di negeri ini.
“Terima kasih di atas kebaikan dan harapan yang diberikan mereka kepada rakyat di sini. Berhubung dengan projek rumah ini, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy, YB Setiausaha Kerajaan Pahang dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) di atas usaha dan kelicinan perjalanan membina rumah ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah agar setiap penerima menghargai dan menjaga rumah yang diterima masing-masing.
“Saya ingin menasihatkan jagalah rumah-rumah ini dengan sebaik mungkin, janganlah nak sewakan, jual atau sebagainya. Jadikan rumah ini tempat untuk kita dapat keselesaan dan kesejahteraan untuk anak dan cucu kita. Walaupun kecil, tetapi usahanya begitu besar sekali dan kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT.
“Tinggallah dalam keadaan muhibah dan harmoni. Jagalah kebersihan di Kawasan-kawasan setiap kampung dalam Bentong ini.” titah Paduka Baginda. — KESULTANAN PAHANG







