PULAU TIOMAN, 17 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap kejadian pembunuhan tragis yang berlaku di Cherating, pagi tadi.
Paduka Baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan amat mengejutkan, khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.
“Saya ingin menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian (pembunuhan) yang berlaku pagi tadi di Cherating, Kuantan. Ini tidak harus berlaku dan sebagai Raja Pemerintah, saya nasihatkan rakyat saya supaya awasilah mereka yang cuba mempunyai perangai yang sebegini, tidak harus dibiarkan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menghadiri persembahan Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya Tioman Resort di sini, hari ini.
Paduka Baginda turut menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka serta tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
“Saya ingin menjemput semula kita baca al-Fatihah pada mereka yang telah menjadi mangsa kejadian ini. Al-Fatihah,” titah Paduka Baginda lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu, isteri dan dua anak perempuannya sebelum membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman mengesahkan empat mayat ditemukan dalam sebuah bilik, manakala mayat seorang wanita dengan kesan berlumuran darah ditemukan di dapur kediaman terbabit.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian. -KESULTANAN PAHANG







