TEMERLOH, 25 Februari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah projek rumah pam air Kampung Paya Badak di sini merupakan salah satu bukti bahawa masyarakat Orang Asli di negeri ini tidak pernah dipinggirkan.
Paduka Baginda bertitah, pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli, menerusi pelaksanaan pelbagai projek kemudahan asas di seluruh negeri ini.
“Saya nak bagi pujian khususnya kepada Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal kerana satu contoh yang telah dibuktikan berjaya laksanakan projek dengan secepat mungkin seperti pelaksanaan jalan alternatif di sekitar Kampung Tenggoh di Seberang Lebak.
“Saya ingin menyentuh sikit, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memandang berat dari segi kemudahan-kemudahan asas, khususnya di kampung-kampung pedalaman.
Saya juga telah terima taklimat berkaitan perlaksanaan dan kebaikan projek-projek bekalan air di seluruh negeri Pahang, Alhamdulillah dapat dilaksana dengan sebaik mungkin” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, tumpuan turut diberikan kepada kebajikan masyarakat Orang Asli, selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk memastikan golongan tersebut menikmati keselesaan dan pembangunan setara.
Setakat ini, sebanyak 27 kampung Orang Asli telah diwartakan melibatkan kira-kira 7,706.29 hektar tanah manakala dalam masa sama, 101 lagi kampung Orang Asli sedang dalam proses pewartaan.
“Perkembangan ini mencerminkan keutamaan tinggi yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda menegaskan bahawa rakyat, termasuk masyarakat kampung dan Orang Asli, akan terus dibela dan sebarang usaha untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat negeri ini tidak akan dilayan.
Menyentuh mengenai projek perumahan dan bekalan air, beliau berharap semua kawasan tanpa mengira kaum termasuk Orang Asli, Melayu, Cina dan India terus diberi perhatian sewajarnya.
“Saya harap rakyat di sini dapat menikmati kemudahan bekalan air disediakan ini dan terus hidup dalam keadaan harmoni, muafakat dan sepakat,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG








