KUANTAN, 1 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat menyambut Hari Tentera Darat Ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia termasuk para veteran yang telah menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.
Sesungguhnya, sepanjang 93 tahun penubuhannya, Tentera Darat Malaysia telah mempamerkan tahap profesionalisme, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
Pengorbanan yang dicurahkan, sama ada di medan operasi mahupun dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Paduka Baginda berdua turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara, atas kesetiaan serta kecekalan dalam memikul amanah yang besar. Tidak dilupakan juga jasa para veteran yang telah bersara, yang pengorbanan dan sumbangan mereka kekal terpahat dalam lipatan sejarah pertahanan negara.
Semoga sambutan Hari Tentera Darat Ke-93 ini menjadi pemangkin untuk seluruh warga Tentera Darat Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan, mempertingkat keupayaan serta mengekalkan kecemerlangan dalam setiap penugasan.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar semua anggota sentiasa dilindungi, dikurniakan kesihatan yang baik serta kekuatan dalam menjalankan tanggungjawab demi kedaulatan dan kemakmuran Malaysia yang tercinta. -KESULTANAN PAHANG







