KAJANG 1 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Program Memasak Bubur Lambuk Untuk Penghuni Penjara Wanita Kajang di sini hari ini.
Program tahunan kendalian Paduka Baginda sendiri itu dizahirkan sebagai tanda kasihnya Paduka Baginda kepada golongan di sebalik tirai besi agar mereka juga tidak dipinggirkan.
Inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang yang juga Penaung Kraf Diraja Jabatan Penjara Malaysia itu agar golongan yang diberi peluang kedua ini dapat bersama-sama merasai nikmat Ramadan.
Sebanyak 3,000 pek bubur lambuk Pahang resepi istimewa daripada Paduka Baginda berjaya dihasilkan dan diedarkan kepada seluruh warga Penjara Wanita Kajang.
Lebih menarik program bubur lambuk Paduka Baginda sepanjang Ramadan ini di beberapa lagi lokasi lain mendapat sokongan daripada Kara Malaysia iaitu pengeluar santan yang merupakan bahan utama dalam penyediaan bubur lambuk Pahang. -KESULTANAN PAHANG







