PEKAN, 8 Mac 2026 — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru umat Islam supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan serta menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.
Paduka Baginda bertitah, kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh kedudukan al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
“Di negeri Pahang, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh kedudukan al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
“Antara usaha yang giat dilaksanakan ialah dengan menggalakkan penubuhan serta pembangunan pusat-pusat tahfiz di seluruh negeri bagi melahirkan lebih ramai generasi penghafaz al-Quran yang bukan sahaja menguasai hafazan, bahkan memahami serta menghayati ajaran yang terkandung di dalamnya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta memasyhurkan Masjid Pulau Serai di sini dengan nama Masjid Tengku Hajah Aisyah Mandak, semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang dekat dengan al-Quran sekali gus menjadi benteng moral dan rohani kepada masyarakat.
“Saya percaya institusi tahfiz memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk generasi yang dekat dengan al-Quran, sekali gus menjadi benteng moral dan rohani kepada masyarakat.
“Anak-anak yang dididik dengan al-Quran sejak usia muda akan membesar sebagai insan yang berdisiplin serta berakhlak mulia,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan antara penyakit besar yang mampu meruntuhkan bangsa dan negara jika tidak dibendung.
“Oleh yang demikian, saya menyeru khususnya kepada seluruh rakyat di negeri ini agar sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam menjalankan amanah serta menjauhkan diri daripada segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Sekiranya nilai-nilai al-Quran benar-benar dihayati dalam jiwa setiap daripada kita, maka akan lahirlah sebuah pentadbiran yang bersih, berintegriti dan adil sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri terus terpelihara,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap jawatan yang dipegang merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Ingatlah bahawa amanah adalah kemuliaan, manakala pengkhianatan terhadap amanah adalah kehinaan; bukan sahaja di sisi manusia, bahkan lebih berat lagi di sisi Allah SWT,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







