KUALA LUMPUR, 11 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru umat Islam agar kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan, khususnya ketika dunia sedang berdepan konflik dan ketidaktentuan yang menjejaskan kesejahteraan Ummah.
Paduka Baginda bertitah, keadaan dunia yang sedang dilanda konflik dan peperangan turut memberi kesan mendalam kepada umat Islam di seluruh dunia, khususnya di rantau Timur Tengah.
“Pada saat seperti ini, respons yang paling wajar bagi kita sebagai orang beriman ialah kembali kepada ajaran al-Quran dan petunjuk Nabi Muhammad. Al-Qur’an mengandungi banyak kisah tentang Bani Israel. Kisah-kisah ini bukan sekadar cerita masa lalu, tetapi pengajaran untuk kita renungkan. Ia mengingatkan bahawa Allah telah lama memerintahkan orang beriman agar sentiasa teguh, bersedia, dan peka terhadap keadilan, keimanan serta tanggungjawab.
“Al-Qur’an berulang kali mengajak kita untuk membacanya. Walaupun kita tidak memahami sepenuhnya maknanya, bacaan Al-Qur’an itu sendiri mampu melembutkan hati dan menguatkan hubungan kita dengan Yang Maha Esa.
“Itulah sebabnya inisiatif seperti World Quran Hour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini amat bermakna. Harapannya bukan sekadar agar orang ramai membaca Al-Qur’an, tetapi juga berusaha memahami mesej mukjizat agung yang dikurniakan kepada Nabi Muḥammad,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program World #QuranHour yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut menghimpunkan wakil dari 13 negara dalam solidariti berasaskan nilai Al-Quran.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menyifatkan kehadiran wakil dari Türkiye, Maldives, Oman, Tajikistan, Persekutuan Rusia, Jordan, Iran, Iraq, Afghanistan, Palestin, Azerbaijan dan Somalia bersama Malaysia melambangkan perpaduan negara-negara Islam yang berkongsi nilai kasih sayang, keadilan serta tanggungjawab moral yang diinspirasikan oleh Al-Quran.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar Allah SWT membimbing dan melindungi umat Islam di mana sahaja mereka berada serta menyatukan Ummah dan mengingatkan bahawa perpaduan merupakan asas kekuatan umat, selari dengan peribahasa Melayu ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. -KESULTANAN PAHANG







